Isu hak Penjagaan Dua Kanak-kanak Mualaf Selesai

PUTRAJAYA 10 Feb. – Mahkamah Persekutuan hari ini memuktamad­kan pertikaian berhubung isu hak penjagaan dua kanak-kanak mualaf apabila memerintahkan kanak-kanak perempuan itu dipelihara oleh ibunya yang beragama Hindu manakala adik lelakinya pula dijaga oleh bapanya yang beragama Islam.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel lima hakim selepas mendengar dan meneliti kemahuan kedua-dua kanak-kanak tersebut sewaktu dipanggil me­ngadakan pertemuan secara berasingan dalam kamar hakim selama 40 minit sebelum mahkamah memulakan sidangnya.

Perintah mahkamah tertinggi negara itu tidak menyebelahi mana-mana pihak kerana bekas pasangan suami isteri itu gagal mere­but hak penjagaan bagi kedua-dua anak mereka yang masih di bawah umur.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif yang mengetuai panel bersidang memaklumkan, kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang kini menetap di Johor Bahru, Johor dan bersekolah di sebuah sekolah antarabangsa memilih untuk menetap bersama ibunya, S. Deepa, 32.

Menurut beliau, kanak-kanak lelaki yang berusia lapan tahun itu pula mahu tinggal bersama ba­panya, Izwan Abdullah @ N. Viran, 33, di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Mualaf itu kini bertugas di Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan.

Hakim Md. Raus menyatakan, panel itu memutuskan demikian agar tidak mengganggu kehidupan mereka berlandaskan kepada Seksyen 88(3) Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976.

Sehubungan itu, kuorum ber­kenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan hak penjagaan kedua-duanya kepada Deepa serta menolak ra­yuan Izwan untuk memperoleh hak menjaga mereka.

Yang turut bersidang, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin serta Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Azahar Mohamed.

Izwan ketika ditemui pemberita selepas mahkamah selesai bersidang meluahkan perasaan puas ha­ti dengan keputusan itu kerana walaupun tidak mendapat hak penjagaan anak perempuannya, kanak-kanak itu tetap darah dagingnya dan mereka masih boleh berhubung me­lalui telefon.

“Jika mahkamah memutuskan hak pen­jagaan kedua-duanya diberikan kepada Deepa, saya akan berasa sakit hati manakala jika kedua-dua diberikan kepada saya, Deepa juga akan sakit hati,” ujarnya.

Sementara itu, Deepa berpendapat sebaliknya apabila menyuarakan kekecewaan dengan keputusan itu kerana perintah berkenaan memisahkan kedua-duanya secara kekal.

“Harapan saya semoga mereka tidak dipisahkan tetapi keputusan ini menyebabkan saya berasa susah hati kerana hanya diberi peluang melawat sekali dalam tempoh dua bulan untuk jangka masa lima jam sahaja,” ujarnya sambil menangis.

Kuorum berkenaan turut merekodkan butir-butir berhubung hak lawatan kedua-dua kanak-kanak itu seperti yang dipersetujui oleh Izwan dan Deepa.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Izwan berhujah, kedua-dua pihak bersetuju agar mereka dibenarkan melawat kanak-kanak tersebut pada setiap Sabtu dalam tempoh dua bulan di antara pukul 10 pagi dan 3 petang di rumah ibu Deepa yang beragama Islam di Jelebu.

Ujar peguam bela, Deepa yang diwakili oleh peguam, Fahri Azzat turut bersetuju bahawa mereka bebas untuk berhubung tanpa had melalui telefon secara munasabah tertakluk kepada kesediaan dan waktu lapang kedua-duanya.

Mahkamah turut berpuas hati dengan persetujuan pasangan itu bahawa kedua-duanya tidak dibenarkan untuk bermalam.

Isu hak penjagaan itu menjadi pertikaian berikutan tindakan Izwan mengambil anak lelakinya daripada Deepa pada 9 April 2014 iaitu dua hari selepas Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan menyerahkan hak jagaan kedua-duanya kepada wanita tersebut.

Ketika membacakan keputusan tersebut, Hakim Md. Raus menyatakan, hanya mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa menentukan isu perebutan hak penjagaan kanak-kanak yang dipertikaikan oleh pasangan berlainan agama.

Panel itu berpendapat, Izwan menyalahgunakan proses undang-undang dengan membawa isu perebutan hak jagaan ke Mahkamah Syariah sedangkan Deepa bukan penganut agama Islam.

Pada hemat kuorum itu, pasangan yang memeluk Islam tidak boleh menggunakan isu pertukaran agama dengan beralih ke Mahkamah Syariah untuk melarikan diri daripada tanggungjawab dan isu-isu sampingan yang belum diselesaikan di bawah undang-undang sivil.

Pasangan itu berkahwin pada Mac 2003 mengikut upacara agama Hindu dan didaftarkan di bawah Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian). Selepas memeluk Islam pada 2011, Izwan menukar agama kedua-dua anak mereka tanpa pengetahuan bekas isteri, setahun kemudian.

Sementara itu, panel tersebut turut memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa mengarahkan Ketua Polis Negara (KPN) menguatkuasakan Perintah Mendapatkan Kembali (recovery order) kanak-kanak lelaki itu daripada Izwan.

Mahkamah berpuas hati, polis tidak wajar menguatkuasakan Perintah Mendapatkan Kembali kanak-kanak lelaki berkenaan ekoran terdapat dua keputusan mahkamah berhubung hak penjagaan kanak-kanak itu yang bercanggah di antara satu sama lain.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/isu-hak-penjagaan-dua-kanak-kanak-mualaf-selesai-1.189038#sthash.NSCr3jyD.dpuf

sumber gambar: www.thestar.com.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*