Mahkamah hibrid atasi kes pasangan berbeza agama

KUALA LUMPUR 16 Feb. – Mahkamah tribunal khas atau hibrid yang dianggotai barisan panel hakim sivil dan syariah diyakini dapat menyelesaikan masalah yang membabitkan perkahwinan, penceraian dan tuntutan hak jagaan anak-anak bagi pasangan yang berlainan agama.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah dan Ketua Hakim Syarie, Tan Sri Dr. Ibrahim Lembut berkata, bagi mencapai hasrat tersebut, undang-undang mengenai perkara itu perlu dipinda.

“Mahkamah khas. Saya sangat setuju, Itu perancangan awal kita untuk di peringkat Mahkamah Rayuan nanti, hakim dari sivil dan syariah duduk bersama-sama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Wacana Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia di Institut Latihan Islam Malaysia di Bandar Baru Bangi, dekat sini hari ini.

Pada Januari lalu, Persatuan Peguam Muslim Malaysia mencadangkan supaya sebuah tribunal yang dianggotai hakim-hakim mahkamah syariah dan sivil ditubuhkan untuk mencari penyelesaian secara baik bagi kes penjagaan anak berlainan agama.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abdul Bakar berkata, tribunal itu boleh menjadi platform terbaik bagi para hakim untuk bersama-sama menyelesaikan perkara itu demi kebaikan dan kepentingan kanak-kanak terbabit.

Pada 10 Februari lalu pula, Mahkamah Persekutuan memukta­mad­kan satu pertikaian berhubung isu hak penjagaan dua kanak-kanak mualaf apabila memerintahkan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun itu dipelihara oleh ibunya yang beragama Hindu, S. Deepa manakala adik lelakinya yang berusia lapan tahun dijaga oleh bapanya yang beragama Islam, Izwan Abdullah.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel lima hakim selepas mendengar dan meneliti kemahuan kedua-dua kanak-kanak tersebut sewaktu dipanggil me­ngadakan pertemuan secara berasingan dalam kamar hakim selama 40 minit sebelum mahkamah memulakan sidangnya.

Perintah mahkamah tertinggi negara itu tidak menyebelahi mana-mana pihak kerana bekas pasa­ngan suami isteri itu gagal mere­but hak penjagaan bagi kedua-dua anak mereka yang masih di bawah umur.

Tambah Ibrahim, setakat ini, keputusan mahkamah syariah tidak terpakai kepada golongan bukan Islam tetapi orang Islam boleh mengguna pakai mahkamah sivil.

“Setakat ini, ada kes orang Islam menggunakan mahkamah sivil tetapi tidak banyak,” ujarnya.

sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mahkamah-hibrid-atasi-kes-pasangan-berbeza-agama-1.191444#sthash.8Bcc42UL.dpuf

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*