Mahkamah Syariah Saja Boleh Tentukan Kes Tukar Agama

Mahkamah Syariah saja boleh tentukan kes tukar agama

Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang menolak penukaran agama tiga kanak-kanak oleh bapa mualaf mereka.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi dalam keputusan majoriti berkata Mahkamah Tinggi Ipoh tidak mempunyai bidang kuasa bagi membicarakan penukaran agama tiga anak seorang guru tadika M Indira Gandhi oleh bekas suaminya.

Balia berkata isu sama ada seseorang itu beragama Islam atau tidak adalah di bawah bidang kuasa eksklusif mahkamah syariah.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membuat keputusan mengenai penukaran anak sulung pasangan itu kerana dia kini berusia 18 tahun.

Bapa kanak-kanak itu, K Pathmanathan @ Muhammad Ridhuan Abdullah menukar agama ketiga-tiga anak mereka – dua anak perempuan dan seorang anak lelaki – ketika mereka berusia 12, 11 tahun dan 11 bulan pada tahun 2009 tanpa kehadiran ibu mereka dan tiga syarat lain sebagaimana yang dikehendaki mengikut Seksyen 96 Pentadbiran Islam Perak, 2004.

Perayu-perayu hari ini terdiri daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Pendaftar Pertukaran Agama, kerajaan negeri Perak, Kementerian Pendidikan, kerajaan Malaysia dan Patmanathan.

Keenam-enam perayu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh yang membatalkan sijil penukaran agama Tevi Darsiny, Karan Dinish dan Prasana Diksa dan memutuskan bahawa sijil itu adalah tidak sah.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi Muhammad Riduan hak penjagaan ketiga-tiga anaknya itu selepas beliau menukarkan agama mereka kepada Islam.

Mahkamah Tinggi Sivil juga mengisytiharkan bahawa perintah hak penjagaan itu adalah tidak sah dan batal kerana Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi perintah hak penjagaan apabila pihak ibu bukan beragama Islam.

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 hari ini memutuskan pengesahan penukaran agama tiga kanak-kanak oleh bapa mualaf mereka, enam tahun lepas hanya boleh ditentukan oleh Mahkamah Syariah.

Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, mengetuai panel tiga hakim yang dianggotai Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dan Datuk Dr Badariah Sahamid, memutuskan perkara berkaitan Islam, isu agama dan sama ada seseorang itu beragama Islam, adalah di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

“Kami berpendapat perkara berkaitan (penukaran agama) adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah,” kata Balia dalam keputusan majoriti dan sependapat dengan beliau adalah Badariah manakala Hamid Sultan menentang.

Panel itu membuat keputusan selepas membenarkan rayuan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak dan dua yang lain, kerajaan Malaysia dan Kementerian Pendidikan serta bapa mualaf, Muhd Riduan Abdullah, yang sebelum ini dikenali sebagai K Patmanathan.

Keenam-enam perayu itu mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang membatalkan sijil penukaran agama ketiga-tiga anak Muhd Riduan.

 

sumber: https://www.malaysiakini.com/news/324919

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*