JAGA KREDIBILITI MAHKAMAH SYARIAH

YAA Dato Dr Naim JAKESS

MUKADIMAH Kredibiliti mahkamah syariah sentiasa sahaja menjadi bualan. Pelbagai tanggapan negatif kadang kala wujud dalam memahami fungsi dan tugas mahkamah tersebut. Ada ketikanya mahkamah syariah dianggap lambat dalam menangani sesuatu kes.

Dalam wawancara dengan Utusan Malaysia, Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor, DR. MOHD. NA`IM MOKHTAR mengupas persoalan ini khususnya berhubung bidang kuasa mahkamah syariah dan usaha yang dilakukan oleh pihak beliau bagi meningkatkan imej mahkamah itu dalam kalangan umat Islam. Beliau juga memberi pandangan bagaimana menghakis tanggapan masyarakat bahawa mahkamah syariah adalah mahkamah kelas kedua.

UTUSAN: Apakah harapan Dr. terhadap fungsi Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dalam melaksanakan undang-undang syariah di Selangor?

MOHD NA`IM: Harapan saya agar JAKESS ini akan sentiasa diberi kejayaan dan kecemerlangan. Justeru untuk mencapai ke tahap ini, satu anjakan paradigma perlu dilakukan bagi merealisasikan hasrat itu.

Seperti yang kita ketahui mahkamah syariah bukan hak eksklusif mana-mana pihak tetapi hak semua individu beragama Islam. Mahkamah syariah juga adalah Ramzu Al-Islam ataupun mercu kebanggaan Islam yang seharusnya dijaga dan dimartabatkan oleh setiap umat Islam.

Apakah perancangan Dr. dalam menangani persepsi masyarakat yang sering menyatakan tentang kelemahan terhadap sistem pe­nyampaian dan perkhidmatan di mahkamah syariah sehingga meng­anggap mahkamah ini sebagai mahkamah kelas kedua?

MOHD. NA`IM: Jika dilihat sekitar awal 80-an mahkamah syariah khususnya di Selangor sering dikaitkan dengan isu kes tertunggak, pendaftaran dan perbicaraan kes yang tidak teratur termasuklah isu kelemahan kemudahan infrastruktur yang menjadi bahan cemuhan masyarakat. Walau bagaimanapun mahkamah syariah kini telah melakukan beberapa evolusi perubahan dalam memastikan mahkamah syariah mampu memenuhi keperluan dan kehendak semasa.

JAKESS melaksanakan beberapa perubahan dalam pelbagai aspek antaranya dalam aspek pembangunan dan infrastruktur di mana mahkamah syariah di setiap daerah ditempatkan di bangunan baharu yang lebih selesa dengan kemudahan yang lebih baik. Selain itu dari aspek penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan JAKESS juga melaksanakan beberapa modul bagi memudahcara penyelesaian kes-kes.

Sebagaimana yang diperuntukkan di dalam undang-undang, kebiasaannya prosedur yang perlu dipatuhi di dalam sesuatu kes adalah rumit dan mengambil masa dan menjadikan bebanan kepada masyarakat umum. Oleh itu, apakah inisiatif yang diambil bagi menangani isu ini?

MOHD NA`IM: Pada pandangan saya setiap prosedur yang diperuntukkan di dalam undang-undang tidak boleh diklasifikasikan sebagai suatu bebanan atau perkara yang merumitkan. Perlu difahami bahawa matlamat sesuatu penghakiman perlulah didasarkan kepada keterangan yang tepat serta beban pembuktian yang melangkaui tahap keraguan.

Justeru rang undang-undang yang digubal perlulah mengambil kira aspek perincian dan ketepatan kehendak penghakiman tersebut. Namun begitu, saya tidak menafikan sesuatu prosedur yang dikatakan rumit dan panjang boleh dipercepatkan dengan tidak menjejaskan kehendak sesuatu penghakiman.

Sebagai contoh dalam kes perceraian, hakikatnya bukan suatu kes rumit sepertimana yang sering diperkatakan oleh masyarakat. Ini terbukti apabila JAKESS kini telah melaksanakan satu program Key Focus Activity (KFA) yang memfokuskan penyelesaian kes perceraian di bawah Seksyen 47 EUUKIS dalam tempoh enam jam sahaja berdasarkan kepada beberapa syarat yang ditetapkan.

Apakah transformasi kehakiman yang telah diambil oleh Dr. sehingga ke hari ini dalam mening­katkan kredibiliti mahkamah syariah di mata masyarakat?

MOHD. NA`IM: Baru-baru ini kita berjaya menggubal suatu pindaan terhadap EPAIS 2003 yang diluluskan pada 7 April 2015 dan kemudiannya diwartakan pada 13 Mei lalu. Antara pindaan penting yang dibuat melibatkan bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah s. 62(2)(b) di mana jumlah tuntutan yang dibenarkan di Mahkamah Rendah Syariah telah dinaikkan iaitu dari RM 100,000.00 kepada RM300,000.00. Pindaan ini secara tidak langsung memantapkan lagi sistem perundangan syariah dan memberi ruang lebih luas kepada mahkamah syariah dalam menjalankan bidang kuasanya.

Selain itu, dalam merealisasikan hasrat saya untuk menjadikan mahkamah syariah ini sebagai friendly court JAKESS dengan kerjasama JAIS telah melaksanakan satu program Mahkamah Turun Padang di mana perbicaraan luar mahkamah telah diadakan bagi masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli, Sungai Lalang, Semenyih Daerah Hulu Langat, Selangor pada 10 April lalu.

Ini adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 127 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 2003 di mana mahkamah boleh, pada mana-mana peringkat prosiding, memanggil mana-mana pihak untuk mengemukakan keterangan dan boleh memeriksa mana-mana tempat atau barang.

Masyarakat sering beranggapan hukuman bagi kesalahan-kesalahan dalam bidang kuasa Jenayah Syariah adalah ringan dan tidak memberi kesan kepada pesalah-pesalah yang telah dikenakan hukuman oleh mahkamah. Apa pandangan Dr.?

MOHD. NA`IM: Akta Mahkamah Syariah, Bidang Kuasa Jenayah Syariah 1965 (Pindaan 1984), mahkamah syariah boleh menjatuhkan hukuman denda maksimum RM5,000, penjara maksimum tiga tahun atau sebatan syariah sebanyak enam kali atau gabungan antara hukuman-hukuman itu.

Pindaan Akta Mahkamah Syariah 1965 yang terakhir dilakukan pada 1984 iaitu 27 tahun lalu dan saya berpendapat sudah sampai masa­nya dikaji semula dan dipertingkatkan. Walaupun begitu seharusnya hukuman yang “dikatakan ringan” ini tidak boleh dipandang remeh dan diperlekehkan kerana prinsip hukuman bagi sesuatu kesalahan jenayah syariah adalah sebagai ta’dib (pengajaran dan pendidikan) dan bukanlah sekadar hukuman penyeksaan dan balas.

Dalam soal tersebut, apakah kepentingan sesuatu pindaan terhadap rang undang-undang sedia ada perlu dilaksanakan dalam memastikan sistem perundangan selaras dengan perkembangan dan keperluan semasa?

MOHD. NA`IM: Sesebuah akta yang menjadi tulang belakang undang-undang tertentu bukannya suatu perkara yang statik dan perlu bersedia digubal dan dipinda mengikut kesesuaian masa agar tidak kelihatan terlalu ‘antik’.

Perubahan akta adalah sesuatu yang perlu dilakukan supaya selaras dengan perkembangan zaman dan situasi semasa serta kecenderungan masyarakat.

Apakah pesanan Dr. khususnya kepada masyarakat Islam untuk bersama-sama menjaga imej dan nama baik mahkamah syariah agar kredibiliti dan kedudukannya sentiasa terpelihara?

MOHD. NA`IM: Masyarakat yang beragama Islam adalah salah satu entiti yang berpotensi membantu menjaga imej dan kredibiliti mahkamah syariah. Satu perkara yang perlu difahami oleh semua termasuklah masyarakat secara umumnya ialah mahkamah syariah adalah hak milik semua individu yang beragama Islam dan bukan hak eksklusif oleh mana-mana pihak.

Menjaga imej dan nama baik mahkamah syariah bukan ha­nya tanggungjawab warga kerja mahkamah syariah sahaja tetapi juga banyak bergantung kepada masyarakat.

Justeru, peranan dan kerjasama masyarakat khususnya umat Islam di Selangor yang menjadi pelanggan kepada mahkamah syariah adalah amat penting dalam menjaga reputasi dan kredibiliti mahkamah syariah. Sekiranya terdapat kesalahan atau kecacatan yang dirasakan perlu diperbaiki oleh pihak mahkamah syariah, diharapkan masyarakat dapat memberikan teguran yang membina dan bukan menyalahkan mahkamah secara terus menerus.

Sumber di petik dari: http://www.utusan.com.my/rencana/jaga-kredibiliti-mahkamah-syariah-1.113853#sthash.EtmJu3nK.dpuf

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*