بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

YAA Tan Sri Dr/ YA Datuk Seri Dr/ Datuk/ Dato’/ Datin/ Tuan/ Puan ahli-ahli PPSM yang dihormati dan dikasihi sekalian.

 قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاء وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاء وَتُعِزُّ مَن تَشَاء وَتُذِلُّ مَن تَشَاء بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-Imran:26)

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam; serta selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Terlebih dahulu saya mewakili barisan kepimpinan baharu Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) sesi 2016-2018 ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Pegawai Syariah seluruh Malaysia atas kepercayaan yang diberikan kepada kami selaku barisan kepimpinan baharu PPSM dalam pemilihan yang berlangsung pada 16 Februari 2016 sempena Mesyuarat Agung PPSM Tahun 2016 bertempat di Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM). Sesungguhnya pemilihan ini merupakan penyerahan “button” tanggungjawab dari pasukan sebelum ini kepada barisan kepimpinan baru. Kami percaya, kami dipilih utk menjayakan misi Pegawai Syariah di semua sektor. Oleh itu kami berjanji utk membawa pegawai syariah terus bergerak ke hadapan seiring dengan keperluan massa dan kehendak jabatan. Namun begitu, sokongan dan dokongan semua ahli dan kepimpinan jabatanlah yang akan menentukan bahtera PPSM belayar megah menuju ke pelabuhan jaya. Kita akan bergerak bersama atas semangat ” kebersamaan, kasih sayang dan setiakawan”.

PPSM juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAA Tan Sri Dr Ibrahim Lembut selaku Penaung PPSM yang sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap segala perancangan yang diketengahkan oleh PPSM selama ini. Kita percaya YAA Tan Sri akan terus membimbing dan menasihati pasukan baru ini sepertimana yang telah beliau berikan kepada kepimpinan PPSM sebelum ini.

Pada kesempatan ini juga, PPSM ingin menyatakan sokongan penuh dan berdiri teguh di belakang YAA Tan Sri Dr berhubung kenyataan media yang dikeluarkan berhubung penubuhan tribunal hibrid untuk menyelesaikan tuntutan hak penjagaan anak antara dua pihak yang berbeza agama. Sesungguhnya isu yang melibatkan konflik bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam isu berkenaan tidak mampu diselesaikan tanpa usaha berterusan ke arah penubuhan tribunal hibrid tersebut, sekali gus mampu memberi sinar baharu kepada sistem keadilan Syariah di Malaysia.

Dalam memenuhi mandat yang diberikan , PPSM telah menggariskan beberapa keutamaan dalam memperkasakan persatuan ini, antaranya:

i. Mengukuhkan dan merapatkan  jalinan kerjasama antara Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-Negeri (JKSN)/Mahkamah Syariah Negeri-Negeri(MSN)  yang ditunjangi oleh kerajaan negeri  dan Majlis Agama Islam Negeri atas sifat kebersamaan.;

ii. Memperjuangkan kelangsungan peningkatan dan perluasan perjawatan Pegawai Syariah bersesuaian dengan kepakaran seseorang Pegawai Syariah;

iii. Meningkatkan kemampuan ilmu dan intelektual Pegawai Syariah seluruh Malaysia dengan mewujudkan program bersama Institusi  Pengajian Tinggi Awam dan Swasta  tertentu sama ada di dalam atau luar negara;

iv. Menjaga kebajikan ahli-ahli PPSM di semua sektor , termasuk kesesuaian isu penempatan berdasarkan pengalaman serta kebajikan berkeluarga.

v. Membina dan mengukuhkan jaringan kerjasama dengan Persatuan-persatuan  lain yang bersesuaian  seperti PPMM, PGSM, PKPU,CUEPACS dan sebagainya.

vi. Mewujudkan program kemasyarakatan (Corporate Social Responsibility- CSR) untuk mendedahkan peranan agensi perundangan dan kehakiman Syariah secara lebih tuntas  dan tepat.

Justeru itu, saya mewakili barisan EXCO PPSM menyeru seluruh ahli PPSM agar sentiasa memberi sokongan dan kerja sama dalam pelbagai bentuk bagi merealisasikan hala tuju yang digariskan di atas, seiring dengan firman Allah dalam Surah Al-Maidah, ayat 2  yang bermaksud: “…dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam perkara kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat)…”.

PERSATUAN KITA ADALAH RUPA WAJAH KITA

Sekian, wassalam.

Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

IBRAHIM BIN DERIS
Presiden
Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM)
Sesi 2016 – 2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *