KUALA LUMPUR 17 Feb.– Sudah tiba masanya mahkamah syariah diberi pengiktirafan Persekutuan dalam sistem perundangan negara bagi memperkasakan penguatkuasaannya, sekali gus meningkatkan kecekapan pelaksanaan undang-undang Islam.
Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, mahkamah syariah serta sivil harus diselaraskan dan terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi dasarnya supaya mahkamah syariah diperkasa dan tidak dipinggirkan.
“Islam merupakan agama rasmi negara, tribunal khas yang dicadangkan ini baik dan sepatutnya telah lama dilaksanakan dalam sistem perundangan negara.
“Kita menyokong cadangan itu dan seharusnya mahkamah syariah dinaik taraf sama seperti mahkamah sivil, isu tersebut sepatutnya telah lama diselesaikan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan keyakinan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah dan Ketua Hakim Syarie, Tan Sri Dr. Ibrahim Lembut bahawa mahkamah tribunal khas atau hibrid yang dianggotai barisan panel hakim sivil dan syariah dapat menyelesaikan masalah yang membabitkan perkahwinan, penceraian dan tuntutan hak jagaan anak-anak bagi pasangan yang berlainan agama.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, cadangan tersebut dilihat sebagai pengiktirafan dan membuka ruang kepada hakim syarie namun kajian yang menyeluruh harus dilakukan dengan mengambil kira pertimbangan maslahah.
Katanya, hal ini kerana peruntukan undang-undang yang ada di mahkamah syariah tidak sama dengan peruntukan mahkamah sivil.
“Cadangan itu amat baik, walau bagaimanapun tentulah melibatkan pindaan undang-undang sedia ada.
“Selain itu, kajian perlu dijalankan secara menyeluruh oleh pihak yang berkelayakan untuk mengkaji kesannya,” katanya.
Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sudah-tiba-masa-mahkamah-syariah-diberi-pengiktirafan-1.191764#sthash.BuAyLlJ8.dpuf