Assalamu’alaikum WBH.
YAA/ Y.Bhg Tan Sri Dr/ YA Datuk Seri Dr/Datuk/Datin/Yang Arif/Tuan/Puan, ahli-ahli PPSM yang dihormati dan dikasihi sekalian.
Dengan penuh rimbunan keampunan dan sujud kesyukuran ke hadrat Allah SWT. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW utusan sekalian alam, ahli keluarga serta para sahabat baginda, para tabiin juga pegawai-pegawai Syariah yang telah pergi meninggalkan kita. Sesungguhnya kita juga akan sampai waktu untuk meninggalkan dunia ini cuma waktu dan masanya kita tidak ketahui, semoga kita akan lebih menginsafi. Alhamdulillah, dengan izin-Nya jua yang memberi kelapangan masa dan kesihatan yang baik dapatlah kita meneruskan kehidupan, semoga laluan dan haluan kita sentiasa mendapat pedoman dan maghfirah dari-Nya.
Agak lama saya tidak menulis, disebabkan kekangan waktu dan tugas harian yang semakin mencabar dan berkehendak kepada komitmen yang tinggi. Pada masa yang sama, pelbagai isu telah kita ketahui dan warnai arena nasional. Diharapkan kita dapat menanganinya dengan baik dan rasional, selagi kita berpegang kepada Hukum Syarak dan ajaran Rasulullah SAW, insya Allah kita dilindungi dan mendapat syafa’at baginda Rasulullah SAW.
Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada sidang pengarang Nadi Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (dahulunya dikenali sebagai Suara PPSM) yang telah berusaha menerbitkan buat julung kalinya buletin PPSM. Sesungguhnya usaha yang murni ini diharapkan akan berkekalan dan menjadi pemangkin ke arah membudayakan nilai ilmu dan pengetahuan Pegawai Syariah seluruhnya.
Peristiwa kehilangan MH370 dan kejadian tragis yang berlaku ke atas krew dan penumpang pesawat MH17 amat menyentuh perasaan dan menyayat hati kita semua warga Malaysia. Sama-sama kita doakan yang terbaik untuk mereka semoga hak keadilan mereka terus diperjuangkan dan pihak yang tidak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan. Begitu juga dengan kekejaman rejim zionis ke atas penduduk Islam Palestin, pendirian kita jelas bahawa kekejaman tersebut perlu dihentikan dan penduduk Islam Palestin hendaklah diberi kemerdekaan menduduki Wilayah Gaza.
Banyak perkara dan peristiwa yang berlaku juga telah memberikan kita petunjuk bahawa Pegawai Syariah berupaya untuk maju dan memartabatkan institusi Perundangan Islam di Malaysia. YAA Tan Sri Dr Ibrahim selaku Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah memberikan contoh dan tauladan yang baik sebagai pemimpin untuk kita jadikan rujukan. PPSM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAA Tan Sri dan YA Datuk Seri Dr Md Yusup bin Che Teh di atas usaha beliau sehingga memperolehi Ijazah Kedoktoran ( Phd. ) yang menjadi dorongan dan semangat kepada semua Pegawai Syariah untuk terus menuntut ilmu. Asasnya yang dibina ini memberitahu kita bahawa untuk memperkukuhkan institusi Kehakiman Islam dan memartabatkan kedudukan pegawai Syariah, ilmu pengetahuan hendaklah diutamakan.
Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.
“IKHLAS BERKHIDMAT”
ABU SUFFIAN BIN ABU YAZIZ
Presiden
Persatuan Pegawai Syariah Malaysia
Sesi 2014-2016