Sukan Mahkamah Syariah (SMS) merupakan kejohanan sukan terbesar dalam kalangan semua warga Mahkamah Syariah seluruh Malaysia. Penganjurannya dibuat secara dwi tahunan oleh Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia SMS yang pertama dianjurkan adalah pada tahun 2010 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) Kuala Terengganu.Kecemerlangan penganjuran SMS 1 tersebut diteruskan lagi dalam SMS 2 yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada tahun 2013. Penyertaan warga kerja Mahkamah Syariah dalam SMS 2 memperlihatkan peningkatan di mana jumlah keseluruhannya mencecah seribu (1000) orang dengan Sembilan (9) acara sukan dipertandingkan.
Pemupukan semangat kerjasama berpasukan dan pembudayaan nilai-nilai murni melalui sukan dilihat telah berjaya direalisasikan dalam dua edisi kejohanan SMS sebelum ini.Selaras dengan perkembangan positif tersebut penganjuran temasya sukan ini diteruskan dengan penganjuran SMS 3. Penghormatan dan pemilihan sebagai tuan rumah bagi Kejohanan SMS 3 ini telah diberikan kepada Negeri Pulau Pinang yang diumumkan semasa SMS 2. Format Kejohanan SMS 3 ini dirancang supaya dapat melibatkan lebih ramai penyertaan, memaksimumkan acara yang dipertandingkan dan meningkatkan peluang memperolehi mata kejohanan dengan mempelbagaikan kategori dalam satu- satu acara sukan yang dipertandingkan.